Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Salam Sejahtera

Semoga Menjadi Insan Yang Bermaruah Dan Berguna. Ilmu Itu Pelita Hidup

Misi

2010 Tahun Memulakan Kejayaan Dan Menyelesaikan Segala Masalah
Hidup Bahagia Di samping Keluarga Tersayang.

Wednesday, May 26, 2010

Bukan harta mak bapak kita

Kenapa kita begitu rakus dengan kuasa dan pangkat kita. Adakah wang segalanya. Di manakah perhentian kehidupan kita dalam perjuangan untuk meneruskan pancaroba dalam alam kerjaya yang cemerlang. Jika kita menjadikan nafsu serakah kita sebagai tuan maka berlakulah salah guna kuasa dan sikap mementingkan diri sendiri demi kepentingan perut kita sahaja.

Jika organisasi tersebut bukan mak bapak kita punya, maka kita sepatutnya sama-samalah membangunkan organisasi tersebut secara terbuka dan berhemah. Kenapa perlu ada sikap lebih sudu dari kuah dan berpura-pura. Di manakah kejujuran kita terhadap tanggungjawab kita terhadap organisasi tersebut.

Hari ini kita mungkin berada di atas dan menguasai segalanya tapi tahukah kita dengan nasib kita pada masa depan. Adakah kita akan terus menjadi firaun dan berada di atas dengan menguasai orang lain demi kepentingan diri sendiri.

Roda akan sentiasa berputar dan terus berputar dan akhiran hidup kita adalah mati. Mati tidak mengira masa, tempat dan sebabnya.

Kita mempunyai hak dalam organisasi dan begitu juga dengan orang lain. Jika kita mengambil hak orang lain maka suatu hari nanti hak kita akan dirompak pula oleh orang lain.

Tetapi siapa yang akan faham dan dengar kerana hati-hati mereka sudah hitam dengan wang dan kekayaan dunia yang telah disalah gunakan.

Sombong dengan kuasa

Kita kadang kala akan menjadi mangsa keadaan. Mangsa kepada kesombongan dan kebongkakan sesetengah pegawai yang mempunyai kuasa sementara. Disebabkan wang, ada sesetengah pegawai sanggup melakukan apa saja walaupun membuang dan menyingkirkan orang tertentu demi jaminan kedudukan mereka. Disamping kedudukan mereka yang sementara itu, mereka juga lupa bahawa setiap orang berhak untuk mempertahankan diri dan hak mereka di dalam sesebuah organisasi.

Ada juga yang mengambil kesempatan dalam keadaan tersebut dengan memburukkan seseorang serta menjatuhkan mereka dengan tambahan cerita dan fitnah. Semua ini dilakukan di sebabkan kesombongan, hasad, dengki serta ketakutan kepada kebenaran. Mereka sanggup melakukan perbuatan tersebut di sebabkan pengaruh yang mereka ada. Tanpa segan silu kononnya merekalah hero dan penyelamat organisasi tersebut.

Kebenarannya merekalah musang berbulu ayam serta mengambil kesempatan dengan menjatuhkan orang lain. Mereka tiada daya usaha untuk memajukan diri di sebabkan kekurangan diri sendiri tetapi di sebabkan tamak haloba serta mempunyai hati dan niat yang tidak baik maka dengan menjatuhkan orang lain maka hajat mereka untuk monopoli organisasi tersebut tercapai.

Harta dan kekayaan dunia hanya sementara samalah dengan kuasa dan pangkat yang ada. Gunakan kesempatan yang ada untuk untuk berbuat kebaikkan dan jujurlah kepada diri sendiri.

Jadilah insan yang malu kepada diri sendiri dan Allah kerana sifat ehsan dan tulus itulah yang menentukan kebaikkan hati nurani kita.

Friday, May 21, 2010

Konflik pengurusan

Adakah semua orang sama persepsinya terhadap sesuatu perkara. Kebiasaannya akan timbul konflik bila sesuatu perkara dibincang tetapi tidak mendapat sokongan seratus peratus dari semua orang. Jika dibuat suara majoriti pun tetap ada suara sumbang yang mempertikaikannya. Penerimaan orang luar juga mungkin tidak sama dengan keputusan yang dibuat.

Tetapi keputusan perlu dibuat untuk melaksanakan sesuatu perkara. Keputusan yang dibuat biasanya melambangkan siapa yang berkuasa dan kepentingan golongan tersebut. Tiada orang yang akan membenarkan musuh mereka menang tanpa sebab yang boleh memberi faedah kepada mereka.

Budaya fitnah, mengugut dan menindas pekerja sudah ketinggalan tetapi masih dipraktikkan oleh mereka yang tidak layak memimpin sesebuah organisasi. Mereka takut dengan bayang-bayang sendiri serta suka mengambil jalan mudah serta menggunakan kuasa tanpa ada batasannya. Mungkin mereka berjaya menyingkirkan kakitangan yang mereka tidak suka jika beranggapan mereka mempunyai kuasa mutlak tetapi sebenarnya masih ada kuasa pemantau yang boleh digunakan talian hayat seperti membuat lapuran kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan pembelaan yang adil.

Tuduhan tanpa asas

Perlukah kita menyerah kalah kepada mereka yang sengaja untuk menjatuhkan kita. Untuk terus berada di dalam kumpulan, kita kebiasaannya akan akur dan patuh dengan ketua kumpulan walaupun merasa tidak selesa dengan keadaan tersebut. Tetapi untuk terus menunjukkan kekuasaan mereka, pengurus akan tetap mencari dan mewujudkan kesalahan mereka yang tidak disenanginya.

Apa bezanya salah guna kuasa dengan menyeleweng atau tidak beramanah. Semuanya adalah kesalahan yang serius dalam mengendalikan syarikat atau organisasi. Bagaimana pula dengan tersilap atau terlewat dalam melakukan sesuatu kerja. Bolehkah ianya dimaafkan jika keadaantersebut dibaiki.

Bagi pengurus mereka berasa kuasa berada ditangan mereka. Mereka bebas melakukan apa saja terhadap kakitangan serta harta syarikat. Jika memberi faedah dan keuntungan kepadanya maka betullah semuanya. Perkara yang bermasalah akan dipejam mata dan dibisukan supaya tidak timbul kekeliruan dan masalah yang boleh menjejaskan mereka. Tetapi jika perkara tersebut tidak memberi faedah dan keuntungan kepada mereka maka akan digagalkan perkara tersebut.

Begitu juga dengan kakitangan yang mereka tidak suka. Maka akan diwujudkan berbagai halangan dan rintangan terhadap kakitangan tersebut sehingga boleh menyebabkan kakitangan tersebut berasa tidak selesa serta berasa tertekan dengan keadaan tersebut. Jika perlu fitnah dan usaha memburukkan kakitangan tersebut akan dilakukan supaya setiap perbuatan jahat pengurus tersebut terlindung.

Fikirkanlah apa perlu dilakukan jika berada dalam keadaan begini sehingga menyebabkan penindasan, ugutan serta kemurungan di pihak pekerja. Sehingga ada pekerja yang mula memberontak dan mengambil tindakan di luar kawalan serta hingga sampai membunuh atau membunuh diri.

Ada juga pekerja yang mengambil langkah membuat lapuran kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya. Akhirnya siapa yang rugi..... syarikat dan organisasi kerana semuanya hanyalah pekerja di organisasi tersebut.

Wednesday, May 19, 2010

Belajar Apa Tua-Tua

Hazel Soares bersama rakan sekelasnya mendapatkan diploma setelah beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Mills College di Oakland, California. Beliau yang berusia 94 tahun mampu menyelesaikan pengajiannya kembali setelah tamat pembelajarannya di Roosevelt High School di Oakland pada tahun 1932. Beliau yang memiliki 6 orang anak dan 40 orang cucu dan cicit merupakan orang kedua tertua berjaya lulus dari college.

Tiga tahun yang lalu, Nola Ochs dari Kansas telah menempa nama sebagai lulusan Universiti yang tertua di dunia dan dicatat dalam Guinness Book of World Records yang ketika itu berusia 95 tahun. Beliau mendapat Ijazah Master dalam Liberal Studies dari from Fort Hays State University.

Ia menjadi suntikan semangat kepada semua bahawa usia bukannya halangan dalam mengapai kejayaan dalam pendidikan. Apa yang penting adalah semangat, keinginan dan kesungguhan. Sebenarnya konsep pendidikan dalam Islam merupakan pendidikan sepanjang hayat. Belajar dari buaian sehingga ke liang lahad. Non Stop. Apatah lagi ilmu itu tiada tepinya dan tiadanya pelabuhan untuk berlabuh. Islam mengajar kita supaya menuntut ilmu dan mencintainya serta sayang kepada golongan yang terlibat dengan ilmu. Islam sendiri meletakkan mereka yang berilmu itu tinggi maqamnya selepas daripada nabi.

"Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan. para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu)". (Surah al-Imran : 18)

"Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Surah al-Mujadalah : 11)

Banyak lagi ayat yang menyentuh kelebihan orang yang berilmu apatah lagi hadis-hadis yang menyebut demikian tetapi amat malang kekadang umat Islam sendiri lemah dari segi pengetahuan dan usaha untuk mencari ilmu. Pengasas kepada keilmuan adalah Islam itu sendiri. Negara umat Islam terawal telah mewujudkan universiti termasuklah yang masyhur seperti Universiti Cordova, Konstantinople maupun Universiti al-azhar sendiri yang telah menjangkau usia melebihi 1 ribu tahun.

Penulis sendiri melalui cabaran ini. Ijazah pertama di Universiti al-azhar diperolehi pada tahun 1989. Setelah 20 tahun barulah dapat peluang menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Memanglah dalam kelas kita yang tertua. Bahkan Ketua Jabatan dan sesetengah prof tu lebih muda daripada kita sendiri tetapi faktor usia guru bukannya menjadi penghalang untuk kita menuntut ilmu. Semangat yang ditunjukkan oleh nenek Hazel dan Nola ini menyuntik semangat untuk menyambung lagi pengajian keperingkat Phd, insyaAllah semoga Allah memberi jalan dan kekuatan meskipun banyak kekangan dan acapkali semangat yang tertangguh.

Oleh Ustaz Saiful Bahri
http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=4948&mode=thread&order=0&thold=0

Tuesday, May 18, 2010

Ilmu ada di mana saja

Mencari dan menuntut ilmu adalah wajib bagi muslimim dan muslimat. Carilah ilmu dimana saja walau sampai ke negeri China iaitu bersama orang bukan Islam sekalipun atau sehingga ke hujung dunia iaitu tiada had sempadan dunia. Menuntut ilmu juga sebenarnya bermula dari dalam buaian sehingga ke liang lahad. Itulah yang diajar kepada umat Islam jika kita benar-benar menghayatinya.

Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu dunia dan akhirat dan kedua-dua ilmu tersebut amat penting kepada umat Islam jika ingin terus bersaing dan mendapat keredhaanNya.

Tetapi sekarang ilmu boleh didapati dimana saja secara formal atau tidak formal. Kita boleh menuntut ilmu dengan menjadi pelajar sepenuh masa. Kita juga boleh belajar secara formal dengan mengikuti kursus serta seminar yang dianjurkan oleh kerajaan dan badan-badan yang bertauliah dalam apa saja bidang yang kita minati dan hajati. Disamping itu kita juga boleh mengikuti kursus separuh masa dan jarak jauh yang banyak dianjurkan oleh badan pendidikan tinggi atau melalui maya.

Untuk memenuhi masa lapang serta kehidupan harian kita baik dimana saja, banyak terdapat pengajaran ilmu secara tidak formal sejak kita celik mata hinggalah tutup mata seharian hidup kita. Setiap pagi ada kuliah Subuh untuk mereka yang menghadiri surau atau masjid setiap subuh.

Kita juga boleh membuka radio yang menyediakan berbagai saluran seperti radio pendidikan dan IKIM atau lainnya yang banyak memberi pendidikan dan pengajaran secara tidak formal setiap hari dan masa. TV juga menyediakan program pendidikan sejak pagi hingga ke malam setiap hari melalui berbagai saluran yang tersedia. Kita hanya perlu memilihnya yang mana menarik perhatian kita dan mengikutinya dengan selesa bersama keluarga. Internet juga menyediakan berbagai kemudahan pembelajaran dan pendidikan secara tidak formal melalui maya.

Masjid dan surau serta badan-badan berkaitan juga banyak menyediakan program serta ceramah untuk masyarakat setempat. Tujuan utamanya adalah memberi tambahan ilmu kepada semua. Kita hanya perlu menyediakan masa untuk mengikuti kursus, seminar, ceramah atau apa saja program yang tersedia untuk kita semua. Ambillah kesempatan dan bukalah mata untuk kehidupan yang lebih bermakna untuk masa depan yang lebih baik.

Cabaran kehidupan

Kehidupan perlu diteruskan walau apa saja rintangan yang datang. Baik atau buruk tetap akan diharungi. Untuk berjaya kita hendaklah sentiasa berusaha memperbaiki serta mempertingkatkan diri dengan menyesuaikannya dengan cara kehidupan kita.

Walaubagaimanapun kita hanya boleh merancang dan berusaha dan hanya Allah sahaja yang maha mengetahui akan akhirannya. Untung nasib kehidupan kita ditentukan olehNya.

Setiap cabaran kehidupan kita hendaklah diharunginya dengan tabah serta berfikiran positif. Jika berhadapan dengan sabarang masalah, kita hendaklah bijak menyelesaikannya dan menganggapnya sebagai resmi kehidupan yang sememangnya kita harus harunginya dengan baik.

Jika kita gagal mengawal diri serta mengalah dengan cabaran yang sedang kita hadapi maka kita akan dianggap sebagai seorang yang kalah dan begitulah sebaliknya.

Untuk lebih berjaya dalam kehidupan kita, ilmu memainkan peranan utama untuk menyelamatkan diri kita serta memberi kita lebih iktiar dan akal supaya kita dapat menyelesaikan sebarang masalah dengan baik dan positif.