Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Salam Sejahtera

Semoga Menjadi Insan Yang Bermaruah Dan Berguna. Ilmu Itu Pelita Hidup

Misi

2010 Tahun Memulakan Kejayaan Dan Menyelesaikan Segala Masalah
Hidup Bahagia Di samping Keluarga Tersayang.

Wednesday, March 31, 2010

Kuala Lumpur

Kuala Lumpur begitu istimewa kepada penduduk Malaysia. Di samping menjadi ibu negara, ia juga merupakan bandaraya yang lengkap dengan serba serbi. Untuk tinggal di Kuala Lumpur, kita mestilah rajin berusaha kerana bandarayanya yang sentiasa membangun. Banyak pekerjaan boleh dilakukan untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur. Bermacam-macam kilang dan perusahaaan yang wujud di sini.yang terdapat di merata ceruk Kuala Lumpur. Bekerja sendiri seperti berniaga juga boleh menjamin pendapatan kepada pengusahanya.

Disebabkan Kuala Lumpur merupakan bandar metropolitan maka berbagai rakyat dari begara asing juga menumpang kehidupan di sini. Ada yang tinggal secara sah dan ada juga yang menjadi pendatang tanpa izin. Dengan rakyat yang berbilang bangsa, keturunan dan agama serta warga negara ia menambah keunikan Kuala Lumpur.

Dengan shopping komplek, jalan raya dan bangunan yang mencakar langi, Kuala Lumpur sangat popular kepada pelancung dalam negara dan luar. Ini dapat diperhatikan dengan kunjungan mereka ke Kuala Lumpur yang sentiasa ramai.

Semoga Kuala Lumpur terus menjadi tarikan ramai dan semakin maju di masa depan.

Sunday, March 21, 2010

Seminggu bersama keluarga tersayang

Cuti sekolah dapat mengeratkan keluarga kerana pada masa inilah semua anak-anak balik dari asrama dan berkumpul. Walaupun begitu sebenarnya pada masa inilah juga kesibukan ibu bapa menjaga dan menguruskan anak-anak semakin bertambah. Ada yang terikat dengan tuisyen sekolah untuk menghadapi peperiksaan. Ada juga aktiviti sasiah di masjid berdekatan dan ada yang menghadiri perkhemahan kepimpinan dan seminar motivasi. Semuanya perlu dibahagikan masa dan yang paling penting keinginan untuk balik kampung.

Kampung merupakan nostagia bagi anak-anak. Mereka akan merengek untuk balik ke kampung berjumpa nenek dan atuk serta saudara mara. Walaupun sekejap dan masa tidak terluang tetapi mesti diperuntukkan juga untuk balik ke kampung. Kita sendiri pun melonjak ingin pulang ke kampung berjumpa ayah ibu dan adik beradik walaupun hanya sekejap.

Alhamdulillah, semuanya diatasi dengan baik dan sempurna. Habis cuti, anak-anak mula ke asrama semula dan tinggallah ibu dan bapa meneruskan kehidupan harian.

Monday, March 15, 2010

Kemesraan ikhlas

Laman sosial memainkan peranan penting dalam masyarakat Malaysia sekarang. Apabila PM bermain facebook atau alam maya untuk bersosial maka rakyat pun semakin ramai menggunakan kesempatan tersebut untuk berurusan dan berhubungan sesama sendiri dan PM. PM mempunyai serampang dua mata dalam penggunaan alam maya tersebut kerana beliau juga menggunakan slogan dan gagasan 1Malaysia dalam memperkenalkan facebooknya. Keberkesanannya amat ketara sekali dengan jumlah bilangan rakan dan peminat beliau yang semakin meningkat dan bertambah. Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan adalah  motto yang digunakan oleh PM dalam menarik minat rakyat serta melaksanakan tanggungjawabnya dalam urusan kerajaan.

Adakah motto dan slogan tersebut hak mutlak PM. Kenapa pemimpin lain seperti terpinggir dan terasing dalam perlaksanaan. Mampukah PM menjelaskannya sepenuhnya kepada pemimpin lain dan rakyat maksud sebenar gagasan tersebut iaitu tujuan dan matlamatnya serta perlaksanaannya. Apa peranan setiausaha PM sebenarnya. Adakah bekerja untuk membantu PM atau mengantikan menteri dan pemimpin lain dalam urusan 1Malaysia. Jika perkara sebegini pun tidak diambil kira bagaimana pula dengan masyarakat Malaysia yang berbilang bahasa, bangsa dan agama. Bagaimana pula denga perlembagaan dan raja kita.

Banyak persoalan yang terpaksa dikaitkan dalam urusan politik dan kerajaan disebabkan banyak isu dan perkara berbangkit yang menimbul rasa tidak puas hati majoriti masyarakat dan rakyat Malaysia kini. Jika timbul sesuatu perkara, maka banyaklah pula perkara berbangkit yang mengiringi dan terpalit.

Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya menimbulkan masalah kepada rakyat. Jika rakyat diutamakan maka perlulah setiap idea dan kepentingan dijuruskan kepada rakyat dan bukannya kepada pemimpin. Banyak perkara yang dilihat dan diperhatikan dibuat dan dilaksanakan atas kehendak pemimpin tertentu dan akhirnya menyusahkan dan merugikan rakyat.

Jika pemimpin benar-benar ikhlas untuk memimpin maka bersedialah untuk kota apa yang dijanjikan dan menunaikan kehendak dan keperluan rakyat. Jika tidak bersedialah untuk bertanggungjawab atas kemusnahan yang mereka reka untuk kepentingan diri dan kroni mereka selama ini. Rakyat sudah bijak menilai dan mendapat maklumat serta membuat keputusan.

Saturday, March 13, 2010

Demam politik

Apa yang berlaku melambangkan siapa kita dan kaum kita sebenarnya. Itulah keadaan sebenar negara kita yang kita sayang ini. Rakyat disajikan dengan cerita dan gambaran yang berlaku kepada pemimpin dan golongan elit yang rakyat pilih. Apa yang rakyat dapat dari pemimpin-pemimpin ini sebenarnya. Adakah sandiwara politik dan kerakusan memerintah yang tiada akhiran dan tanpa batasan agama dan undang-undang ini akan berterusan sehingga kemenangan pihak-pihak tertentu atau kehancuran negara ini. Rakyat berhak mengambil tahu dan membuat penilai dengan apa yang berlaku kerana semuanya akan memberi kesan kepada mereka kelak.

Mungkin kita terlepas pandang mengenai perkara tersebut kerana disebalik semua kejadian ini sebenar ramai pemerhati politik dari kalangan cerdik pandai dan rakyat jelata sedang menilai kita. Mereka akan menilai keadaan yang berlaku menurut perspeksi mereka dan kebolehan mereka berfikir disamping maklumat yang mereka dapat disekeling mereka. Mungkin ada maklumat yang betul, keliru dan palsu tetapi kecerdikan mereka berfikir dan membuat keputusan menentukan segalanya. Rakyat juga semakin cerdik dan terdedah kepada persekiran. Mungkin rakyat tidak lagi dapat diperbodoh-bodohkan dengan janji yang palsu dan berkepentingan diri. Masa telah berubah dan sepatutnya kita tahu membezakan baik dan buruk serta mempunayi sifat jujur, amanah serta bertanggungjawab serta menjauhkan diri dari sifat irihati, hasad, dengki, fitnah dan memburuk-burukkan orang lain.

Bertanggungjawablah kepada diri sendiri, bangsa, agama dan masyarakat serta rakyat kerana setiap amanah itu akan menentukan siapa diri kita yang sebenar.

Wednesday, March 10, 2010

Kawasan rumah

Apa yang ada disekeliling rumah kita. Pernahkah kita ambil tahu bahawa nyamuk boleh membiak di sekitar rumah kita. Pembiakan nyamuk amatlah singkat sekali. Ia boleh membiak di atas dauh-daun yang bertakung air di bawah pokok sekitar rumah kita. Jika kita perhatikan nyamuk kebiasaannya akan mula berterbangan pada waktu senja. Ia amat sensitif dengan darah manusi dan oleh itu maka ia akan mencari dan masuk ke dalam rumah untuk mencari makan. Mahukah kita menjadi mangsa keadaan yang kita antaranya penyumbang besar kepada keadaan tersebut. Janganlah kita lupa bahawa kitalah yang berkuasa dan bertanggungjawab mengubah diri dan nasib kita. Jika kita sendiri yang merelakan perkara tersebut berlaku maka jangan salahkah orang lain jika ia benar-benar berlaku. Kita juga jangan melenting jika suatu hari nanti kita akan dipersalahkan atas apa yang kita lakukan hari ini. Masa lepas akan menjadi sejarah dan tidak boleh diubah. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab pada diri sendiri dan juga masyarakat sekitar. Tidak rugi berbakti kerana faedahnya kita juga yang akan merasanya.

Tuesday, March 9, 2010

Janji

Menepati janji adalah sesuatu yang amat dituntut. Jika kita menepati janji maka kita akan dihormati dan dimuliakan orang. Tetapi jika kita tidak menepati janji maka ramai orang akan susah disebabkan oleh kita. Kita akan menyusahkan orang lain selain mungkin menyebabkan orang lain mengalami kesukaran atau kegagalan atau kerugian atau kemalangan. Sesuatu yang terjadi memang tidak diduga tetapi mesti ada sebab musababnya. Qada dan qadar ditentukan olehNya tetapi yang menyebabkannya dan mengalaminya adalah kita. Oleh itu kitalah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku. Usaha dan tindakan adalah dituntut supaya sesuatu perkara itu akan berlaku tetapi jika tidak mengikut perancangan atau gagal disebabkan kesilapan dan kelemahan manusia maka ia perlu diatasi.  Jangan disebabkan kecuaian dan kelemahan atau sikap sambil lewa kita yang menyebabkan ianya gagal. Setiap perkara boleh diperbaiki menjadi semakin baik walaupun ianya sudah sempurna kerana masa yang menentukan segalanya.

Sunday, March 7, 2010

Perit dan berat untuk lakukan

Ada perkara yang kita terpaksa lakukan walaupun ia amat berat untuk dilaksanakan. Walaupun kita sangat sayangkan seseorang itu tetapi ia bukan milik kita. Ia lebih sesuai untuk berada diluar daripada duduk bersama kita. Ini disebabkan kebebasan yang diberi telah disalah ertikan dan telah digunakan tanpa segan silu sehingga menyinggung perasaan orang yang berada disekeliling kita. Ia juga telah menimbulkan masalah yang lebih besar dan rumit dikalangan umum. Mungkin kerana dia duduk bersama kita maka dia sangat berani mengeluarkan berbagai kenyataan yang sepatutnya adalah masalah dalaman dan perlu dibincangkan secara dalaman. Musuh menggunakan kenyataan tersebut untuk memperlekehkan hubungan kita tetapi dia terus-terusan bertindak bodoh seolah-olah menjadi ejen pepecahan. Dibuang mati emak ditelan mati bapa tetapi sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan perpaduan dan perjuangan umum.

Perjuangan ahli perlu selari dengan parti jika mahu kekal lama dan mendapat sokongan masyarakat. Ahli perlu patuh dan menghormati peraturan dan undang-undang parti disamping mempunyai hubungan baik dengan ahli-ahli lain. Pemimpin mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap ahli yang melampau dan terlampau mengikut peraturan dan kuasa dalam parti. Disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan disebabkan seekor kerbau membawa lumpur maka semuanya terpalit. Matlamat parti dan kumpulan besar diutamakan. Jangan melampaui bidang kuasa sehingga menggugat kepercayaan umum terhadap parti. Kenapa harus berjuang dalam kumpulan jika mementingkan prinsip dan diri sendiri. Prinsip jemaah sepatutnya diutamakan kerana kita berparti dan berjemaah. Sepatutnya kita keluar daripada jamaah dengan rela hati jika sudah tidak sehaluan dengan muhasabah diri terlebih dahulu siapa diri kita dan asal usul kita. Berilah hak orang lain kepada yang berhak. Nilai prinsip kita atas perjuangan apa. Jika diri sendiri maka sesuailah kita meletak jawatan tanpa melibatkan parti. Kemudian hiduplah dengan cara kita sendiri sebagaimana yang kita kehendaki.

Saturday, March 6, 2010

1Malaysia atau Ber1Malaysia

Mana lebih baik kita hidup sendiri atau berkumpulan. Tidakkah kita diajar supaya bekerjasama, berbincang dan bekerja berkumpulan, berjiran dan berpersatuan. Jangan jadi seperti katak di bawah tempurung atau menjadi kera sumbang. Apa makna semua ini. Jangan keliru dengan apa yang orang kata atau suarakan atau cadangkan. Yang penting, kita perlu faham dan perhalusi apa sebenarnya maksud yang tersurat dan tersirat iaitu maksud sebenar daripada unggapan tersebut.

Adakah ianya hanya retorik atau slogan atau melambangkan kedanggalan mereka. Apa yang kita sokong perlulah mempunyai asas dan kekuatan demi masa depan kita. Banyak slogan yang disuarakan selama ini hanya tinggal kenangan dan pupus tanpa batu nisan. Kenapa kita tidak terus menyokong slogan yang telah kita bina sebelum ini. Adakah ianya sudah tidak sesuai lagi atau sudah ketinggalan zaman dan perlu diganti sebagaimana bertukarnya pemimpin seperti sekarang. Atau pemimpin cuba untuk menghilangkan bayangan mentornya dengan mewujudkan slogan baru atau jenama baru supaya menampakkan kewujudannya. Tidakkah ini banyak membazir masa, tenaga dan wang ringgit kerana hanya disebabkan slogan. Jika slogan-slogan ini sama dengan sebelumnya maka apa perlunya kita membuat penjelasan yang semakin lama semakin kelabu untuk difahami kerana telah ditokok tambah sehingga menjadi berbagai Malaysia atau pelbagai Malaysia. Mungkin inilah yang akan membuatkan dan menyebabkan rakyat Malaysia menjadi semakin berpecah belah kerana telah diajar supaya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hak dan suara orang ramai. Ini disebabkan lain yang dinyatakan lain pula yang dibuat dan digambarkan oleh pemimpin-pemimpin yang ada.

1Malaysia untuk masyarakat majmuk telah dipraktikkan dengan jayanya sebelum ini tetapi sekarang ianya seperti memecah belahkan rakyat kepada fahaman-fahaman tertentu kerana ada rakyat yang mendapat maklumat dari pelbagai sumber yang membawa berbagai pengertian. Semua rakyat perlu bernaung dibawah satu kerajaan dan pemerintahan tanpa ada rasa paksaan atau penipuan. Berpolitik ada hadnya dan matlamaynya adalah sama iaitu berkhidmat untuk rakyat dan bukan untuk menyusahkan rakyat.

Sebagai contoh, Sekolah 1Malaysia perlu diwujudkan oleh kerajaan untuk menunjukkan rakyat mempunyai asas yang sama walaupun mempunyai berbagai budaya dan cara hidup. Bangsa, etnik, kaum, agama dan berbagai adat resam yang diamalkan sepatutnya di1kan bermula dari anak-anak berumur 6 atau 7 tahun iaitu semasa anak-anak memulakan persekolahan diperingkat paling rendak. Mereka akan belajar disekolah yang sama dengan mata pelajaran yang sama. Untuk berlaku adil, sekolah tersebut wajib menyediakan pilihan tambahan pelajaran bahasa ibunda sebagaimana yang dahulunya terdapat di sekolah mereka.

Di sini kita akan lihat bagaimana ibu bapa berkumpul menghantar anak-anak mereka ke satu tempat yang sama. Sama-sama merasa suka duka persekolahan anak-anak. Tentu ianya lebih meriah. Guru-guru di1kan dalam satu sekolah. Ini dapat membantu mereka meningkatkan prestasi sesama sendiri. Banyak perkara yang dapat di1kan dan kerajaan dapat berjimat dari perlbagai sudut dan mendapat faedah yang berganda-ganda. Matlamat kerajaan juga semakin mudah untuk dicapai kerana rakyat dengan sendirinya telah ber1 dibawah 1Malaysia. Kerajaan hanya perlu mengasingkan mereka pada peringkat Universiti kerana disinilah sebenarnya anak-anak ini telah matang untuk berdikari.

Kerajaan sepatutnya mengawal dan mengambil perhatian kepada persekolahan anak-anak bermula dari peringkat awal iaitu Taska dan darjah 1. Disini kerajaan boleh mendidik anak-anak dan keluarga mereka supaya cintakan negara dan keamanan. Hidup dalam aman dan harmoni bersama-sama tanpa rasa syak wasangka. Jangan bezakan persekolahan mereka dan tawarkan sebanyak mana kursus atau kurikulum kepada semua sehingga mereka habis belajar pada tahap PLKN. Untuk masuk ke Universiti adalah pilihan mereka seterusnya dengan pelbagai university kerajaan dan swasta.

Friday, March 5, 2010

Harga diri

Di mana letaknya harga diri jika kita tidak tahu menjaganya. Setiap orang mempunyai nilai diri, prinsip dan kelebihan dari kebolehannya. Maruah, sifat malu, bertanggungjawab, menepati masa, amanah, fatanah, berilmu dan beriman adalah perkara yang perlu ada pada seseorang itu untuk meletakkan tahap diri mereka pada pandangan umum dan juga penciptanya. Setiap perkara yang baik yang ada pada kita dan yang menjadi amalan kita akan meningkatkan harga diri kita. Dan perkara yang tidak baik akan menurunkan tahap keperibadian kita.

Terdapat juga ciri-ciri murni yang perlu dipupuk dan ditambah baik melalui perbuatan, pergaulan, pemerhatian, pengalaman dan penambahan ilmu. Harga diri seseorang itu melambangkan siapa diri mereka sebenarnya. Ada sesetengah data atau maklumat boleh diputarbelitkan atau dipalsukan tetapi akhirnya ia akan terbongkar dan nilai sebenar seseorang itu akan dapat dilihat juga. Penilaian tidak pernah berhenti pada satu-satu masa kerana perbuatan dan tinhkah laku kita itu akan dinilai dan ia mempengaruhi turun naiknya harga diri kita.

Sebagai orang Islam yang mempunyai tanggungjawab kepada ibadahnya dan mempunyai keimanan dan taqwa kepada penciptanya maka sepatutnyalah kehidupan kita lebih baik daripada semalam dan sentiasa di perbaiki dengan penambahan ilmu, iman dan taqwa.

Orang berilmu itu tahu apa yang mereka lakukan dan sepatutnya lakukan dan dapat menilai baik buruknya sesuatu perkara itu dan sentiasa meningkatkan diri kepada yang lebih baik dan bagus. Ilmu sebagai panduan hidup iaitu lilin untuk menerangi kegelapan.

Iman pula adalah pegangan kita iaitu kepercayaan kita kepada Tuhan yang maha besar, yang menjadikan langit dan bumi serta sekelian alam ini. Rasul sebagai utusanNya. Kita percaya bahaya kepada Qada dan Qadarnya serta suatu hari nanti akan kembali semula kepadaNya.

Taqwa adalah sifat takut kita kepada Allah. Melaksanakan apa yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang dilaranganNYa. Kita juga melaksanakan perintahnya dengan sebaik-baiknya samada ibadah mahupun kehidupan kita. Al Quran adalah kitab kita dan Al Sunnah itu ikutan kita iaitu cara hidup atau panduan hidup kita.

Semailah peribadi diri kita dengan ilmu, iman dan taqwa kerana hanya kita yang tahu siapa sebenarnya diri kita dan kitalah yang bertanggungjawab menjaga dan memperbaiki nilai baik diri kita setiap masa. Kesilapan perlu diperbaiki dan elakkan melakukan kebodohan yang berulang-ulang.

Thursday, March 4, 2010

Hitam dan putih

Kebaikkan dan kejahatan, baik dan buruk, bersih dan kotor, betul dan salah serta kebenaran dan kemungkaran adalah dua perkara yang berlawanan. Satu menunjukkan keputihannya iaitu sifat-sifat yang dimuliakan dan satu lagi menunjukkan kehitaman iaitu sifat-sifat yang negatif. Kita yang hidup ini hanya mempunyai tiga pilihan untuk terus hidup di muka bumi ini. Samada memilih untuk berbuat baik, berbuat tidak baik atau tiada pegangan hidup iaitu mencampurkan baik dan buruk dalam kehidupan tanpa mengambil berat mengenainya. Tetapi perlu diketahui bahawa setiap perkara yang kita lakukan ada balasannya. Buat baik akan mendapat balasan baik, buat jahat akan dibalas kemurkaan dan jika perkara baik dicampur dengan perkara yang tidak baik maka ia akan dianggap tidak baik dan balasannya samalah seperti kita berbuat tidak baik. Niat dan hati seseorang itu yang sebenarnya menentukan kebenarannya yang sebenar. Jangan menilai seseorang itu melalui paras rupa dan luarannya sahaja. Hati hanya tuhan yang tahu.

Tidak semua kebaikkan akan menang atau berjaya. Ada yang akan berjaya dan senang dalam sekelip mata atau ada yang berjaya dan senang dalam sedikit masa atau ada pula yang memakan masa yang panjang dan ada juga yang tidak pernah berjaya atau senang. Mungkin juga ada yang hidup dalam keadaan penuh pancaroba susah dan senang menjadi darah daging hidupnya. Banyak dugaan yang harus ditempoh semasa kita hidup. Kita tidak boleh menentukan masa depan hidup dan kehidupan kita. Allah yang maha berkuasa lagi bijaksana yang menentukan segalanya. Berusaha dan merancang itulah ibadah kita yang dituntut olehnya samada berbuat baik baik atau sebaliknya dengan janji balasannya. Berdoa iaitu berserah nasib kepadanya sebagai usaha untuk kita mengingatinya disamping berserah atas apa yang diusahakan dan redha dengan balasannya.

Wednesday, March 3, 2010

Menghalalkan cara

Kenapa berlaku perselisihan faham, tidak bersependapat, perdebatan dan pertengkaran. Semua orang akan mengatakan dia betul. Jika ada yang bertentangan dengan pendapat dan tindakannya maka mereka itu yang bersalah atau tidak betul. Jika beliau seorang yang berpengaruh dan mempunyai penyokong maka ini akan menguatkan lagi pendiriannya. Kuasa juga boleh memainkan peranan untuk menguasai keadaan serta menentukan sesuatu perkara. Mereka bebas menentukan segalanya selagi berkuasa dengan berbagai cara dan alasan untukmengambil kesempatan dan terus berkuasa.

Jika dalam organisasi atau pertubuhan kuasa memainkan peranan untuk menentukan sesuatu keputusan. Untuk mendapatkan kuasa tersebut maka sokongan atau perlantikkan diperlukan. Sebenarnya kuasa tersebut hanya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab berlandaskan peraturan dan undang-undang sedia ada. Bukan boleh digunakan sewenang-wenang untuk kepentingan diri atau kumpulan tertentu.

Penyalahguna kuasa banyak dilakukan oleh pihak atasan tetapi adalah sukar untuk diambil tindakan kerana kebiasaannya memerlukan kos yang tinggi, masa yang lama dan yang amat penting memerlukan bukti dan tindakan pihak undang-undang kecuali jika mereka mengaku melakukan penyelewengan tersebut. Siapa yang akan mengaku berak tengah jalan dan memalukan diri sendiri. Oleh itu ia adalah sesuatu yang amat mustahil berlaku. Jika tidak ia kan menjadi amat sukar sekali. Sememangnya jika melakukan kesalahan ia amat memalukan jika diketahui umum dan seboleh-bolehnya perkara tersebut akan ditutup rapi termasuklah bersama orang yang terlibat atau bersengkongkol dengannya. Mereka juga sanggup menghalalkan berbagai cara untuk terus berkuasa dan mengambil kesempatan walaupun cara tersebut adalah salah, tidak bermoral atau suatu penyelewengan. Kebiasaannya mereka tidak akan segan silu lagi melakukan penyelewengan yang baru kerana alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan, biar pecah di peruk asal jangan pecah di mulut atau gengam bara api biar sampai jadi abu.

Kemungkaran yang dilakukan dan dipertahankan akan mewujudkankan kemungkaran yang lebih dahsyat kerana mereka malu jika dikatakan tidak amanah atau menyeleweng walaupun mereka tidak malu semasa melakukannya kerana mereka tidak malu kepada diri sendiri dan hanya malu kepada orang ramai.

Monday, March 1, 2010

Dendam menghancurkan

Kehancuran dunia dari zaman nabi Adam hinggga sekarang disebabkan dendam. Dendam amat teruk dan buruk akibatnya jika menguasai diri. Dendam adalah sesuatu yang perlu dihindari oleh semua pihak demi keamanan dan kesejahteraan dunia. Dunia disempadankan oleh banyak perkara termasuklah bahasa, budaya, agama, etnik, negara dan berbagai lagi. Tetapi sifat dendam ini ada pada semua orang walau apa bahasa, agama, etnik dan negaranya. Ia adalah mainan emosi, perasaan dan nafsunya. Ada berbagai lagi faktor yang boleh mempengaruhi diri untuk menwujudkan sifat dendam ini. Tetapi semuanya menjerumus kearah kehancuran. Kuasai diri dengan sifat baik dan dipupuk dengan ajaran agama yang betul. Ingat kepada kuasa yang maha berkuasa dan sentiasalah merendah diri kepadanya. Jika kita berasa diri kita yang terhebat dan tersohor maka jadilah kita golongan yang bongkak dan takbur bersama saudara kita yang telah dilaknat itu.

Hidup perlu diteruskan

Apa pun berlaku maka kita perlu meneruskan hidup kita sebaik mungkin. Mungkin lebih baik daripada semalam dan sentiasa diperbaiki dari masa ke semasa. Kenapa harus kecewa dengan kegagalan yang direka oleh orang yang berniat jahat dan tidak baik. Jika berlaku kegagalan maka merekalah yang sepatutnya bertanggungjawab kerana cuba mengambil kesempatan atas kejayaan yang ada dan membuat tuduhan untuk menutup kelemahan diri sendiri. Masa akan menentukan segalanya samada dibayar tunai atau dibayar kemudian nanti.

Sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah kepada kerja dengan melaksanakannya sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan yang terbaik dan boleh bertahan lama. Komitmen dan sikap yang baik perlu dipupuk untuk sentiasa bekerjasama dalam satu pasukan tanpa rasa syak dan wasangka. Sikap yang tidak baik serta buruk perlu dihindarkan untuk mengelakkan berlaku komplot dan sikap berpuak-puak. Sentiasa telus dalam apa juga tindakan dan keputusan demi membangunkan organisasi serta sentiasa meningkatkan tahap kualiti pekerja dengan menghadiri kursus dan seminar yang berkaitan selain daripada pendidikan secara formal.

Hidup perlu berbakti kerana selain daripada untuk diri sendiri, keluarga dan teman-teman, kita juga perlu memikirkan bangsa, negara dan agama kita. Semuanya perlu membangun bersama demi kesejahteraan secara holistik.