Apa nak kata, bila rumah dimasuki air. Pada 30hb Dis 2010 yang lalu, hujan lebat telah menyebabkan kawasan rumahku digenangi air dan ada sesetengah jiranku telah mengalami banjir apabila rumah mereka dimasuki air. Rumahku masih lagi selamat dari dimasuki air pada waktu itu walaupun sekeliling rumahku dipenuhi air. Air mula surut pada tengahari tersebut.
Pada 6hb Jan 2011, selepas menghantar anak ke sekolah dan isteri ke pejabat, aku berhenti minum di kedai hadapan kawasan rumahku. Hujan lebat turun mencurah-curah menyebabkan aku basah kuyup dan kesejukkan.
Selepas minum, aku balik ke rumah dan mendapati air telah mula naik di hadapan rumahku. Aku cepat memasuki rumahku untuk menyelamatkan barang yang masih berada dilantai rumahku kerana bimbang air akan memasuki rumahku dalam beberapa minit lagi.
Setelah mengemas rumah serba sedikit, aku mengambil masa untuk berehat di dalam rumah dan menunggu saat dan ketika air akan memasuki rumahku. Air naik perlahan-lahan sehingga sampai ke pintu rumah dan terus memasuki rumahku. Apabila air mula masuk ke dalam rumah, aku melihat air dengan serta merta mengalir dengan deras menuju ke kawasan lantai rendah terutamanya dalam bilik tidur.
Selepas itu, air mula masuk melalui pintu belakang rumahku. Aku cuba menutup pintu supaya air yang masuk dapat ditapis dan mengelakkan air yang kotor dari masuk ke dalam rumahku dengan banyak. Aku melihat paras air di luar rumahku melebihi 1" dari dalam rumahku disebabkan aku menutup pintu cermin rumahku.
Keretaku di depan rumah masih belum dialihkan ke tempat yang betul-betul selamat. Jiran menasihatkan aku untuk menghantarnya ke tepi jalan besar tetapi aku hanya meletakkannya di birai jalan kawasan rumahku kerana merasakan ianya selamat. Sesekali aku mengintai di dalam rumahku untuk memastikan keadaan rumahku semuanya selamat dan berada di kawasan banjir untuk meninjau keadaan sekitar.
Apabila air telah menghampiri jalan besar maka aku memutuskan itulah tahap maksimum ketinggian air kerana selepas ini air akan melintasi jalanraya. Kebetulan hujan telah mula reda dan panggilan penempatan banjir juga telah dimaklumkan.
Kami ke pusat banjir dan balik semula ke rumah untuk menyelamatkan beberapa suis elektrik yang masih belum di offkan. Setiba di rumah, kami mendapati air telah mula bertahan dan dirasakan akan surut jika hujan berkurangan. kami mengambil peluang untuk membersihkan rumah jika air terus surut.
Aku ke sekolah untuk mengambil anakku yang belum balik dari sekolah. Jalan ke sekolah juga digenangi air yang agak besar dalam hujan yang masih turun.
Pada petang hari tersebut sehingga ke malam hari kami membersihkan rumah walaupun ada khabar berita bahawa air laut akan pasang pada malam tersebut dan berkemungkinan akan banjir lagi.
Keesokkan harinya, aku meneruskan membersihkan rumahku............... kami keletihan dan redha dengan apa yang berlaku.