Jika kita ingin belajar kita akan mencari guru, jika ingin bermain kita mencari kawan-kawan dan jika ingin kasih sayang kita akan mencari keluarga. Semua ini telah termaktub dalam kehidupan kita.
Lagi tinggi taraf pendidikan dan lebih banyak pengalaman guru tersebut maka lebih berilmulah dia. Guru adalah pelita hidup. Ia ibarat lilin yang membakar diri untuk kepentingan orang lain. Lebih jauh perjalanan maka bertambah berpengalamanlah ia walaupun hingga ke negeri China iaitu dahulunya 100% bukan Islam atau hingga ke penghujung dunia. Menuntut ilmu adalah wajib bagi Muslim lelaki dan perempuan hingga sampai ke liang lahad. Oleh itu, guru sangatlah penting dalam kehidupan kita untuk kita belajar dan terus belajar sehingga ke akhir hayat kita.
Kawan-kawan adalah teman seperjuangan. Mereka yang menyebabkan kita suka atau duka. Mereka juga yang banyak mempengaruhi kehidupan kita. Jika kita berkawan dengan pencuri, besar kemungkinan kita akan menjadi pencuri atau sekurang-kurangnya kita bersubahat dengan mereka. Sedangkan bersubahat itu umpama kita menyokong atau kita melakukan bersama perkara tersebut. Jika kita berkawan dengan orang yang cerdik pandai maka pandailah kita. Jika kita bermain semestinya kita akan bermain bersama teman-teman dan rakan-rakan di sekeliling kita dengan permainan yang sama. Kadang kala kita sanggup berkorban untuk kawan dan bersedih jika tiada orang yang ingin berkawan dengan kita.
Kasih sayang sangat penting dalam kehidupan kita. Kasih sayang ibu bapa tiada tolok bandingnya. Ibu bapa wajib menyediakan makan minum, pakaian dan tempat berlindung untuk keluarga mereka. Oleh itu jika kita ingin makan minum untuk hidup, pakaian untuk menutup aurat kita dan rumah untuk tidur dan berehat maka keluargalah yang dapat menyediakan semua itu kerana kasih sayang mereka.
Semua ini telah tersedia di hadapan kita dengan peraturannya sendiri. Terpulanglah kepada kita untuk mentaksirkannya dan mengambil iktibar daripadanya. Semoga hidup kita akan bermakna kepada kita dan orang lain.
Pengajaran Banjir
15 years ago
No comments:
Post a Comment